Pages

Saturday 28 February 2015

Manujat

Ilahi!

Sudah kudengar segala seruan yang disampaikan kepadaku, maka timbullah minat dalam hatiku hendak mengerjakan seruanMu, perintah untuk memaslahatan dan kesucianku. Tetapi kedhaifan dan kelemahan selalu mendorongku ke jalan yang tidak Engkau sukai.

Tuhanku!

Amal yang aku kerjakan, amat kecil bila dibandingkan dengan besarnya ampunanMu. Kalau Tuhan hendak mencelakakanku, gelap jalan yang aku tempuh, dan tak seorang pun yang kuat kuasa mempertahankan aku. Kalau Tuhan hendak memberi aku malu, terbukalah rahsiaku, walaupun bagaimana aku menyembunyikan. Kerana itu, ya Tuhanku, sempurnakan awal hikmatMu sampai ke hujungnya, dan jangan Tuhan cabut apa yang telah diberikan.

Ya Tuhan yang telah memberi aku pakaian cinta, yang selamanya tiada luntur dan usang.

Tuhan yang menjaga aku di dalam perjalanan dan diam, berilah aku sedikit cahaya pun jadilah, dari Nur Mu!

Dengan ingat pada Engkau, oh Tuhanku, aku beroleh nikmat. Orang yang berjalan di luar garis Mu, tersesat dan terpencil.

Aku yakin keluasan ilmu Mu. Engkau tahu apa yang tersimpan di hati hamba Mu.

Amat banyak kesalahanku, aku sia-sia dan lalai, padahal anugerah Mu meliputi diriku.

Aku sembunyikan dosaku dari mata makhluk, padahal Engkau selalu melihat dan memperhatikannya.

Dalam pada itu, Tuhan sedia pula mengampuni.

Demi kebesaran Mu! Sejahat-jahat makhluk Mu, tidak ada yang tak merasa jahat kejahatannya yang dikerjakannya. Tetapi dia lemah dan dungu sebab itu Engkau ampuni dia.

Aku ini dungu Tuhan, ampuni aku!

Seorang teman bertanya: "Besok bukankah hari raya? Mana pakaian yang telah engkau sediakan?"

Aku menjawab: "Pakaianku sangat indah, pemberian daripada kecintaanku. Dua helai baju, yakni kemiskinan dan kesabaran. Di dalamnya tersimpan hati yang telah disepuh, yang memandang bahawa keramaian hari raya itu bercahaya, lantaran di sana terbentang nyata wajah kecintaanku, biarpun orang lain tak melihatnya.

Pakaian apakah yang lebih indah dipakai di hari raya, dari pada pakaian pemberian kekasih, yang dipakai dengan tersipu-sipu di hadapanNya?

Tak ada ertinya dari raya itu bagiku, wahai Kekasih, kalau cahayaMu tak memberi kumandang di sana. Dia akan sepi, tak ada keramaian tak ada hari raya, bila Engkau lepas dari ingatanku.

Patuhkah aku disebut seorang yang setia, kalau ada wajah yang lain yang kulihat dalam keramaian, selain dari wajah Mu jua?

Lantaran cintaku kepada Mu, aku sudi menerima keputusan apa pun yang Engkau jatuhkan kepada diriku.

Kadang-kadang putus harapanku dari syurga Mu, lantaran aku tahu kebebalan diriku.

Tetapi gementar segenap sendi tulangku, kalau aku ingat azab dan seksa Mu. Sebab itu, wahai kekasihku. Apakah akan Tuhan bakar muka yang sentiasa basah memujimu? Apakah akan Tuhan seksa, lidah yang sentiasa basah memuji Mu? Apakah akan Tuhan patahkan hati yang sentiasa ingat akan Mu?

Ilahi!

Sudah amat jauh tersesat perjalananku. Sekarang aku pulang kerana aku tahu, tiap-tiap aku bersalah, dengan nikmat jua Tuhan balasi.

Kata orang, enak sekali berkenalan dengan Raja dari segala Raja Yang tiada menutup pintunya pada setiap orang yang hendak menghadap!

Hatiku telah bergembira, kerana Engkaulah tujuan perjalanan. Tuhan yang menanggung segala perbekalanku. Tuhanku! Maha Besar Engkau!

Kalau kulihat bergandanya nikmat, aku hairan mengapa aku sesat jua.

Bagaimana aku begitu berani mengharap redhaMu padahal aku masih tetap aku.

Bagaimana aku takkan mengharap, padahal Engkau masih tetap Engkau.

Ilahi!

Kalau kederhakaanku terbit lantaran kejahilanku, urusanku sekarang timbul dari keinsafan, iaitu bahawa aku ada berTuhan yang tetap pertalianNya dengan hambaNya dengan hambaNya, dengan tali kasih sayang dan cinta.

Lantaran aku cinta akan Engkau Tuhan! Kumohon ampunan Mu! Lantaran Tuhan cinta akan daku. Tuhan ampuni dosaku!

Ilahi! Tuhan telah tahu kesalahanku sebelum aku meminta ampun. Satu di antara Asma Mu, iaitu Ilahi Maha Pengampun. Kelalaianku dan kemudian kesedaranku akan kesalahan, akan menggenapkan kebesaran asma Mu.

Tuhan telah arif dan kebebalanku sebelum aku melangkah!

Apunilah aku, maafkan kesalahanku, gantilah kiranya dengan kebaikan, dengan hasanad. Beri aku permata perhiasan, yakni ingatkan akan Engkau Beri aku taufik dan hidayat. Tunjukkan jalan keselamatan bagiku serta ayah bonda dan anak turunanku, dan seluruh Muslimin. Bahkan bagi seluruh manusia!

Berilah semuanya bahagia yang kekal, dunia dan akhirat!

Selawat dan Salam atas Nabi Muhammad saw, Nabi yang menyeru manusia supaya berlindung kepaa agama yang membawa bahagia. Ya Tuhanku. Engkaulah bahagia, dan dari Engkaulah segenap bahagia, maka hidupkanlah kami dengan bahagia, dan masukkanlah kami ke jannah Mu, negeri yang penuh bahagia. Amat suci dan amat tinggi Engkau ya Tuhan, yang mempunyai segenap Kemuliaan dan keagungan.

Allahumma Sholli Wa Sallim'ala Saidina Wa Maulana Muhammad!
Amin.

0 comments:

Post a Comment